- MITI adalah kementerian pertama di Malaysia yang menerbitkan laporan tahunan dalam bentuk ‘braille’.
- Objektif utama Laporan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia 2012 dalam versi ‘braille’ adalah untuk berkongsi maklumat perdagangan antarabangsa dan industri Malaysia dengan golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan.
- Inisiatif ini diilhamkan oleh Bahagian Perancangan Strategik, MITI dengan kerjasama Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) adalah selaras dengan konsep di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (2011-2015) iaitu ‘Membina Masyarakat Yang Lebih Progresif dan Inklusif’, di mana tiada mana-mana golongan yang akan diketepikan daripada arus pembangunan dan kemajuan negara.
- Seramai empat (4) orang dari MAB telah diambil untuk bertugas di MITI selama enam (6) bulan semenjak Jun 2013 sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) MITI. Mereka ialah Saudari Anas Izati Mohd Nor, Saudari Norzira Othman, Saudara Mohd. Shahrizal Abdul Rahman dan Saudara Khairul Azwan Wahab yang turut terlibat dalam penghasilan laporan ini, di samping menjalankan kerja-kerja utama di bahagian masing-masing.
- Sebanyak 50 unit laporan versi ‘braille’ dalam Bahasa Malaysia dan 50 unit dalam Bahasa Inggeris telah dicetak untuk diedarkan ke perpustakaan Persatuan Orang Buta Malaysia, Perpustakaan Negara dan sekolah-sekolah menengah yang akan dikenalpasti. Malah laporan ini akan diterima oleh institusi-institusi pengajian tinggi yang terpilih di dalam dan di luar negara.
- Laporan ini dapat membantu OKU penglihatan sebagai bahan rujukan penting untuk membantu pengajian di peringkat lebih tinggi, terutamanya di dalam jurusan perdagangan dan pelaburan. MITI akan berganding bahu bersama agensi-agensi seperti MATRADE, MIDA, SME CORP. dan MPC untuk menerbitkan laporan tahunan dalam versi ‘braille’.
-TAMAT-
