MELAKA 8 April – Melaka melonjak ke kedudukan ketujuh tertinggi bagi jumlah pelaburan diluluskan dalam sektor pembuatan pada tahun lalu berbanding ke-10 pada 2013.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sebanyak RM4.44 bilion jumlah pelaburan telah diluluskan oleh Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) di negeri ini tahun lalu.
Menurutnya, pelaburan berkenaan termasuklah dalam sektor pengangkutan (RM3.32 bilion), produk elektrik dan elektronik (RM880 juta), penerbitan dan percetakan (RM160 juta), perabot dan perkakasan (RM40 juta) dan pembuatan makanan (RM40 juta).
“Jumlah pelaburan berkenaan juga merupakan yang tertinggi pernah dicatatkan di negeri ini malah ia yakin dapat terus ditingkatkan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena program Turun Padang ke Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini.
Yang hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Naim Abu Bakar dan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Dr. Rebecca Fatima Sta Maria.
Sementara itu jelasnya, program sehari itu turut dihadiri pegawai kementerian dan MIDA bagi mengadakan pertemuan dengan Exco kerajaan negeri serta tiga syarikat tempatan serta multinasional di negeri ini.
Mustapa berkata, lawatan itu bertujuan memberi semangat dan dorongan kepada beberapa syarikat yang sedang beroperasi di negeri ini supaya terus kekal dan mengembangkan lagi perniagaan mereka.
Katanya, lawatan antaranya diadakan ke syarikat industri aeroangkasa, CTRM Aero Composites; projek pembangunan mega Melaka Gateway dan syarikat semikonduktor dari Jerman yang sudah 42 tahun bertapak di negeri ini, Infineon Technologies (Malaysia).
“Melaka yang terkenal dengan industri pelancongan kini turut berjaya mempelbagaikan sumber ekonominya termasuk dalam bidang pembuatan,” katanya.
Dalam pada itu tambah beliau, sebanyak 100,000 peluang pekerjaan dihasilkan di negeri ini dari 1980 hingga tahun lalu membabitkan jumlah pelaburan bernilai RM35.7 bilion.
Melaka ketujuh tertinggi terima pelaburan diluluskan
No commnents yet