KENYATAAN AKHBAR
Penentuan Awal Anti-Lambakan Mengenai Import Filem-Filem Biaxially Oriented Polypropylene Yang Berasal Atau Dieksport Dari Chinese Taipei, Thailand, Republik Rakyat China, Republik Indonesia Dan Republik Sosialis VietnamKerajaan Malaysia telah memulakan penyiasatan kes anti-lambakan pada
27 Julai 2012 berikutan daripada satu petisyen yang dikemukakan oleh San Miguel Yamamura Plastic Films Sdn. Bhd. yang mewakili industri tempatan yang mengeluarkan produk filem-filem biaxially oriented polypropylene (BOPP). Pempetisyen mendakwa pengimportan BOPP yang berasal atau dieksport dari Chinese Taipei, Thailand, Republik Rakyat China, Republik Indonesia dan Republik Sosialis Viet Nam dibawa masuk ke Malaysia dengan harga yang lebih rendah daripada yang dijual di pasaran domestik negara-negara tersebut. Pempetisyen mendakwa ini telah menyebabkan kemudaratan material kepada industri tempatan di Malaysia.
Kerajaan telah selesai menjalankan penyiasatan awal seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 23 Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993. Kerajaan mendapati bahawa terdapat asas yang mencukupi bagi meneruskan penyiasatan terhadap pengimportan BOPP dari negara-negara tersebut.
Kerajaan akan mengenakan duti sementara anti-lambakan dalam bentuk jaminan bank (bank guarantee) bersamaan nilai margin lambakan yang telah dikenalpasti. Duti sementara anti-lambakan di antara 6.87% hingga 21.43% akan dikenakan ke atas negara-negara tersebut dan akan berkuatkuasa bagi tempoh tidak melebihi 120 hari mulai dari tarikh pewartaan.
Pengenaan kadar duti anti-lambakan yang tetap adalah tertakluk kepada penentuan akhir penyiasatan yang akan dikeluarkan tidak melebihi 120 hari dari tarikh perwartaan duti sementara.
Pihak berkepentingan (pengimport, pengeluar/pengeksport asing dan persatuan-persatuan berkaitan dengan penyiasatan) boleh mendapatkan salinan versi tidak sulit penentuan awal dengan membuat permohonan bertulis kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di alamat:
Pengarah
Seksyen Amalan Perdagangan
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)
Tingkat 14, Blok 8, Kompleks Pejabat Kerajaan
Jalan Duta
50622 Kuala Lumpur
MALAYSIA
Nombor Telefon : (603) 6200 0113/0124/0111
Nombor Faksimile : (603) 6201 6394
E-mel : alltps@miti.gov.my
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Kuala Lumpur, Malaysia
21 Disember 2012