Beliau menggantikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengalu-alukan tetamu ke Malam Malaysia yang dianjurkan untuk 3,000 peserta Forum Ekonomi Dunia (WEF) itu.
Tengah hari sebelum acara itu, Najib bergegas ke Riyadh, Arab Saudi untuk menghadiri pengebumian Raja Abdullah Abdul Aziz Al Saud dan Mustapa terpaksa mengambil alih tugas Perdana Menteri.
Mustapa tidak kelihatan janggal dan kira-kira 500 tetamu memberikan tumpuan kepada kata-kata aluannya dengan sesekali mencuit hati mereka.
Keseluruhan yang hadir pada malam itu ialah 1,500 orang yang datang secara silih berganti, mengatasi rekod kehadiran 1,000 orang ketika WEF 2013.
Penulis yang turut berada di Davos pada tahun itu dapat melihat kelainan sambutan terhadap Malaysia kali ini.
Di mana sahaja, ramai yang bercakap mengenai Malaysia, sama ada dalam majlis rasmi WEF atau acara sampingan mempromosi negara oleh Khazanah Nasional Bhd yang bekerjasama dengan InvestKL dan Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA).
Khazanah sibuk atur pertemuan
Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar kelihatan sibuk setiap hari mengatur pertemuan dan berbincang dengan ramai peneraju syarikat konglomerat.
Pada malam itu, ketika bertembung dengan Azman yang sibuk melayan tetamu, beliau sempat mengangkat ibu jari menunjukkan tanda bagus, isyarat yang jelas menunjukkan persediaan dan perancangan selama setahun sebelum ke Davos mencapai kejayaan.
Sebenarnya, antara misi pasukan Malaysia ke Davos ialah meyakinkan masyarakat perniagaan dan perdagangan antarabangsa mengenai potensi negara.
Cabaran ekonomi yang dihadapi pada tahun 2015 akibat kejatuhan harga minyak dan penyusutan mata wang ringgit memerlukan pendekatan komprehensif bagi meyakinkan mereka Malaysia tidak menghadapi krisis ekonomi seperti 1998 dan 2008.
Potensi Malaysia untuk kekal kompetitif terserlah ketika majlis makan tengah hari perniagaan pada hari Khamis.
Ia mendapat sambutan daripada syarikat asing yang turut membuat perakuan untuk terus melabur di Malaysia dalam tempoh jangka panjang.
Menurut mereka, selain tindakan proaktif kerajaan, persekitaran perniagaan yang kondusif adalah antara faktor utama membuat pelabur gembira ke Malaysia.
Pertimbangan jangka panjang
Pengerusi Lembaga Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Royal Vopak, Eelco Hoekstra, berkata kumpulan itu sentiasa membuat pertimbangan jangka panjang dalam pelaburan mereka.
Katanya, Malaysia menawarkan peluang yang selari dengan strategi pelaburan jangka panjang syarikatnya.
“Kami membuat perancangan jangka panjang dalam pelaburan di Malaysia dan ia berasaskan tadbir urus Malaysia memuaskan, selain rakan dagang yang baik,” katanya.
Pelabur Belanda itu kini menjalin usaha sama dengan PETRONAS dan Dialog Group membangunkan terminal perindustrian di Pengerang, Johor yang menjadi sebahagian penting projek Kompleks Bersepadu Pengerang PETRONAS.
Ia turut terbabit dalam projek Terminal Petroleum Laut Dalam Pengerang, bernilai RM5 bilion. Pengerusi dan CEO Lafarge, Bruno Lafont, berkata syarikat itu juga mahu membuat pelaburan jangka panjang di Malaysia.
Operasi terbesar di Malaysia
“Kami beroperasi di lebih daripada 60 negara dan Malaysia antara operasi terbesar dan mendapat perhatian utama syarikat,” katanya.
Lafarge, peneraju dunia dalam bahan binaan, menggaji 64,000 pekerja di 62 negara. Kehadiran 100 pemimpin korporat daripada 55 syarikat asing turut memberi peluang kepada mereka berdialog dengan Najib.
Justeru, kata-kata Najib pada majlis itu bahawa ada ‘cerita menarik’ di Malaysia bukan sahaja membuka mata pelabur baharu, malah sedia ada yang akan meningkatkan pelaburan.
Bagi Mustapa dan pasukannya pula, walaupun Davos berjaya menayangkan cerita menarik itu, usaha perlu dipertingkatkan bagi mengharungi cabaran 2015 dan yang mendatang selepas.